Post sponsored by NewzEngine.com

Source: Bank Negara Malaysia

Speeches & Interviews
Ucapan Sembah Gabenor di Pameran “Demi Tanah Air: 60 Tahun Sebagai Bank Pusat”
Speaker: Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus Venue: Sasana Kijang Language: Bahasa Malaysia Speech Date: 12 Dec 2019
Sesungguhnya, Institusi Diraja mempunyai kedudukan istimewa dalam lipatan sejarah Bank Negara Malaysia. Biarpun perubahan dan cabaran silih berganti, namun apa yang masih kekal adalah potret Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad yang menghiasi sisi kanan setiap denominasi wang kertas kita, bermula daripada siri pertama sehinggalah ke siri yang ada sekarang. Potret ini bukan hanya menjadi identiti utama wang kertas Malaysia yang dikenali seluruh dunia, malah ianya turut mengandungi ciri-ciri keselamatan bagi mencegah pemalsuan dan memastikan integriti wang kertas Malaysia kekal terpelihara.
60 tahun lalu, pada tanggal 24 Januari 1959, negara menyaksikan satu peristiwa penting iaitu pembukaan Bank Negara Tanah Melayu yang dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Pembukaan Bank Negara Tanah Melayu secara rasmi ini menzahirkan asas atau foundation bagi pembangunan ekonomi dan kewangan Malaysia sebagai negara yang merdeka.
Di acara itu, Baginda bertitah:
“Sesungguhnya penubuhan Bank Negara ini tiada syak lagi akan tercatat dalam sejarah negeri ini sebagai satu daripada peristiwa yang terbesar semenjak Merdeka. Bank Negara akan mempunyai tanggung jawab yang berat dan peranan yang penting dalam hal ehwal ekonomi dan kewangan negeri ini”.
Sehingga kini, apa yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda telah menjadi teras penting untuk kami menjalankan tugas demi kesejahteraan dan pembangunan negara. Bank Negara Malaysia sentiasa berdepan dengan cabaran yang dinamik dan kompleks. Ia mempunyai tanggungjawab yang sangat besar, dan setiap keputusan memberi impak terhadap jutaan rakyat Malaysia. Inilah amanah daripada rakyat Malaysia dan hal ini tidak boleh diambil mudah.
Bersempena dengan ulangtahun ke-60 pada tahun ini, Bank Negara Malaysia, buat julung-julung kalinya, mempersembahkan Pameran “Demi Tanah Air: 60 Tahun sebagai Bank Pusat” yang merupakan naratif retrospektif dalam konteks perkembangan dan pembangunan Bank Negara Malaysia sebagai institusi. Pameran ini:
Pertamanya, akan memberi pencerahan tentang mandat dan peranan Bank Negara Malaysia yang luas;
Kedua, meraikan pencapaian-pencapaian bermakna serta peristiwa-peristiwa penting, dan;
Ketiga, mendedahkan cabaran-cabaran serta tindakan sukar dan rumit yang ditangani oleh Bank Negara Malaysia.
Bukan sekadar pengkisahan sejarah, aspirasi pameran ini adalah agar setiap individu menyelami peranan Bank Negara Malaysia dan kesannya, serta bagaimana mereka dapat memainkan peranan secara kolektif ke arah pembangunan ekonomi yang mampan. Ini bertujuan menyemarakkan lagi semangat jati diri dan kebangsaan di kalangan masyarakat.
Menterjemahkan transformasi lanskap ekonomi serta impaknya kepada orang awam, bukannya sesuatu yang mudah. Sering dilihat sebagai satu topik yang mendatar, terma-terma teknikal yang rumit seperti polisi monetari, inflasi, Overnight Policy Rate atau Kadar Dasar Semalaman, kadar tukaran wang asing dan stabiliti kewangan haruslah diperjelaskan dengan tepat dan ringkas agar mudah difahami. Bagi mencapai hasrat ini, pameran ini telah disuntik dengan konsep interaktif, emotif serta inklusif melalui gabungan artifak, dokumen-dokumen lama serta filem dan foto-foto nostalgia menarik yang jarang dapat kita lihat sebelum ini. Pameran ini merungkai kisah-kisah di sebalik tabir daripada perspektif dalaman Bank Negara Malaysia melalui wawancara perkongsian menarik daripada lebih 60 kakitangan dan bekas kakitangan yang sarat dengan pengajaran dan inspirasi.
Penceritaan bermula dengan kisah jerit perih membangunkan Bank Negara Tanah Melayu oleh sekumpulan kecil 67 tenaga kerja awal dan ruang yang terhad, seterusnya ke detik Bank Negara Malaysia menggantikan Lembaga Matawang sebagai pengeluar mata wang tunggal Malaysia pada tahun 1967, pemerkasaan penyeliaan sektor perbankan tempatan sehinggalah kepada era inovasi fintech dan seterusnya kepada perbincangan mengenai masa hadapan perbankan maya (virtual) serta, inisiatif nasihat dan khidmat isu kewangan. Namun begitu, langit tidak selalu cerah. Oleh itu, pameran ini turut mengimbau saat-saat genting negara menempuhi badai semasa Krisis Pengambil Deposit 1985 dan Krisis Kewangan Asia 1998 dan bagaimana Malaysia merancang usaha pemulihan sendiri yang dianggap radikal.
‘If a picture’s worth a thousand words, an object holds priceless memories’. Pameran ini turut mempamerkan lebih 100 bahan pameran berusia seawal 80 tahun lalu sehinggalah yang terkini. Ini termasuk, mesin pencetak dan plat pencetakaan ‘Duit Pisang’ yang terkenal di era pendudukan Jepun, wang kertas tidak sesuai (unfit notes) yang telah dirincihkan, buku lejer terawal yang merekodkan jumlah stok mata wang dalam edaran, telefon yang digunakan di Bilik Operasi semasa Krisis Kewangan Asia 1998, laporan- laporan tahunan lama, koleksi tabung vintaj serta evolusi etika pakaian kakitangan Bank sepanjang 60 tahun perkhidmatan.
Penyelidikan dan pengumpulan bahan pameran ini tentunya tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan ramai pihak. Patik sangat bersyukur kerana pameran ini juga melihat usaha kolaborasi antara Bank Negara Malaysia bersama institusi/organisasi penaung sejarah dan warisan negara, agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun serta institusi–institusi kewangan. Sekalung tahniah diucapkan kepada institusi-institusi ini atas usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara yang berterusan.
Sebagai pelengkap kepada pameran ini, kami bawakan juga Pameran Seni ‘60 Koleksi Bank Negara Malaysia’ di Galeri Seni. Sokongan Bank terhadap industri seni tempatan adalah bukti keyakinan kami terhadap khazanah seni sebagai manifestasi perkembangan sosioekonomi negara, daripada segi fizikal dan juga intelektual. Pameran ini mengetengahkan 60 buah karya seni tempatan, yang diperoleh semenjak dekad 1960-an daripada pelbagai genre dan bahantara, hasil karya seniman seni perintis, moden dan semasa.
Akta Bank Negara Malaysia memberi mandat yang jelas kepada Bank Negara Malaysia untuk memelihara kestabilan monetari dan kewangan kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Untuk melaksanakan amanah ini dengan baik, peranan Bank Negara Malaysia sebagai bank pusat yang bebas dan profesional seperti yang diperuntukan oleh Akta adalah penting bagi menjamin mandat yang diberikan dapat dipenuhi dengan berkesan dan membolehkan Bank Negara Malaysia memberi tumpuan pada perspektif ekonomi dan sistem kewangan untuk jangka panjang.
Biarpun berdepan dengan persekitaran global yang semakin mencabar serta turun naik dalam pasaran antarabangsa. Bank Negara Malaysia sebagai pelindung dan pemegang amanah sistem kewangan negara, akan terus memegang mandat itu dan menjadikannya sebagai keutamaan. Berakarkan nasional, berakalkan global – Bank Negara Malaysia akan memastikan langkah – langkah yang diambil seiring dengan peredaran masa untuk memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, penuh integriti dan professional demi kepentingan negara.
Akhir kalam, patik bagi pihak Bank Negara Malaysia sekali lagi menjunjung kasih atas perkenan Tuanku mencemar duli bagi melancarkan Pameran “Demi Tanah Air: 60 Tahun Sebagai Bank Pusat”.

© Bank Negara Malaysia, 2019. All rights reserved.

MIL OSI Asia Pacific News